Friday, July 20, 2012


Tajuk: Lantai Jubin Bilik Tiba-tiba Meletup dan Pecah Berkecai!
Tulisan: RASHIDAH IBRAHIM
Pernahkah anda terdengar mengenai kes jubin lantai rumah yang dipasang tiba-tiba meletup dan pecah dengan sendiri? Pertama kali mendengarnya, sukar untuk dipercayai. Sedang leka melayari laman blog ke satu laman blog suatu hari, penulis terkejut membaca luahan hati seorang pemilik blog, Sweetsal mengenai kejadian jubin lantai bilik tidurnya meletup dan pecah terpelanting!
Menerusi entri bertarikh 25 Ogos 2010 dalam laman blog beralamathttp://feelmyseoul.blogspot.com/ bertajuk, Dugaan di Bulan Ramadan, Sweetsal atau nama sebenar Salasiah Abdullah yang tinggal di Taman Pelangi Semenyih, Selangor antara lain mencatatkan:
Sudah lima tahun aku menjadi penghuni di rumahku ini...tak pernah terjadi apa-apa perkara buruk. Fikiran semasa tu memang terkejut beruk, tak tentu hala sampai terbeliak biji mata memandang ke lantai master bedroom sendiri. Aku hanya sempat mengucap, Ya Allah… apa dah jadi ni... mimpikah aku?
Bagaikan tak percaya dengan apa yang aku nampak, lantai jubin rumahku tiba-tiba menggelembung dan pecah. Serpihan jubin bertaburan ke merata tempat. Semasa kejadian, bunyinya agak kuat, macam benda meletup atau macam orang tengah main mercun. Yang ada dalam rumah ketika itu puteriku. Dia terkejut menyangka pencuri sedang membuka grill. Bunyinya sangat kuat, macam guruh pun ada… menakutkan....
Jadi sekarang, aku nak salahkan siapa? Pemaju atau kami penghuni rumah?… Ooh tak mungkin! Aku dah buat aduan kepada pemaju namun jawapannya sangat mengecewakan. Pemaju tak mahu bertanggungjawab... kononnya tempoh jaminan dah tamat. Mahu tak mahu aku kena buat sesuatu, kena perbaiki sendiri. Pastinya menelan belanja yang besar, sedangkan persiapan untuk raya belum pun dibuat aduh...sedihnya!
Didorong oleh perasaan ingin tahu, saya lantas menghubungi Salasiah untuk bertanyakan lebih lanjut mengenai kejadian itu. Menurut Salasiah, rumah yang didudukinya itu dibeli siap daripada pemaju. Lantainya dipasangkan jubin seramik biasa 30.5 sm x 3.05 sm (1 kaki x 1 kaki) oleh kontraktor pemaju. Ukuran lantai yang pecah sekitar 3.05 m x 1.22 m (10 kaki x 4 kaki) membabitkan 45 keping.
“Pada hari kejadian, pemaju datang melihat dan mengambil gambar jubin yang pecah dan mengambil ukuran ruang terbabit. Malangnya, sampai sekarang tak ada siapa datang membaiki. Saya tidak tahu mengapa jubin di bilik saya pecah dan meletup. Pihak pemaju pula enggan bertanggungjawab dan tidak juga menerangkan puncanya,” keluh Salasiah.
Sambil mengulang rasa terkilan dan sedih, katanya lagi; “Saya memang terperanjat, tak sangka kejadian ini boleh berlaku setelah lima tahun saya tinggal di rumah ini dan saya memang berharap agar pihak pemaju bertanggungjawab menggantikannya.”
Bertitik tolak daripada masalah Salasiah, penulis berazam merungkai puncanya. Sebelum menghubungi pihak pengeluar jubin untuk bertanyakan sebabnya, penulis menarik perhatian mengenai kejadian itu di kalangan kawan-kawan sendiri. Dan saya terkejut, mereka pun pernah mengalaminya.
“Memang ada berlaku, lantai jubin rumah keluarga saya pun hari itu meletup dan pecah berkecai dengan sendiri. Kami pun tak tahu mengapa ia berlaku, akibat daripada kejadian yang tidak semena-mena berlaku itu, kami kenalah keluarkan duit untuk baiki,” ujar rakan sekerja, Irawati Ismail.
Seterusnya saya memanjangkan persoalan itu kepada Muhsin Abdul Ghani pemilik tunggal MAG Builders Sdn Bhd yang arif dalam bab kerja-kerja binaan. Perkara utama yang ingin saya tahu ialah adakah kejadian itu biasa dan apakah puncanya?
Menurut Muhsin, kejadian itu pun pernah dialaminya sekali. Mengulas mengenai kejadian itu, Muhsin memberikan dua kemungkinan sebab. Pertama katanya, mungkin jubin dipasang tanpa menggunakan campuran gam simen. Untuk melekatkan jubin perlu menggunakan bancuhan simen yang dicampurkan gam khas (gam simen). Kedua, sebelum dipasang kepingan jubin tidak dibasahkan atau direndam dahulu dalam air sejuk.
“Jika jubin tidak dibasahkan sebelum dipasang, air dalam simen akan lama kelamaan kering diresap jubin. Seterusnya jubin kembang, menggelembung, meletup dan pecah. Ini disebabkan kelemahan sewaktu memasang,” ujar Muhsin.
Dalam kes ini, tambahnya pemaju mungkin mensyaratkan penggunaan gam simen tetapi kemungkinan ketika memasang bahan itu kehabisan stok dan kerana hendak cepat, pekerja teruskan kerja memasang dengan simen biasa.
Kalau mengikut kaedah memasang yang betul menurut beliau lagi, kes itu mungkin tidak akan berlaku. Perlu diingatkan, kerana kecuaian atau kelemahan di peringkat memasang, ia boleh terkena kepada mana-mana tuan rumah yang tidak bernasib baik.
“Dalam kes seperti ini, pemaju akan membaiki jika rumah masih dalam tempoh jaminan. Tempoh jaminan (warranty) yang diberi biasanya setahun tetapi kalau rumah diubah suai dalam tempoh itu sebarang kerosakan tidak akan dibaiki oleh pemaju,” terangnya.
Sementara Pengurus Tenikal Ceramic Research Company Sdn Bhd, Loo Sheau Ming yang mewakili Guocera Tile, berkata daripada kajian dan penyelidikan yang dijalankan kejadian jubin tertanggal (de-bonding) bukan disebabkan mutu jubin sebaliknya kerana kaedah pemasangan tidak betul atau kerana penggunaan bahan gam yang tidak sesuai.
“ Ini boleh diibaratkan seperti menampal poster di dinding, apabila poster jatuh dengan sendiri, tentunya ia bukan disebabkan mutu poster!” ujar Loo.
Bagi memberi penerangan berhubung kes yang menimpa Salasiah, kata Loo dia perlu mengetahui sama ada jubin yang pecah, jenis seramik berkilau (glazed) atau porselin, apakah bahan yang diguna untuk melekatkan jubin, sama ada simen atau bahan perekat? Adakah jubin itu direndam di dalam air sebelum dipasang, adakah masih terdapat sebarang kesan bahan perekat di belakang jubin yang tercabut? Dan adakah kedengaran bunyi lopong di bawah kepingan jubin apabila permukaannya diketuk?
Melihat pada gambar kejadian di bilik Salasiah, Loo berkata ia kelihatan seperti jubin lantai seramik jenis berkilau (glazed) dengan kadar serapan air antara 6 hingga 10 peratus.
“Dengan andaian dipasang menggunakan mortar (campuran simen, air, pasir dan kapur), iaitu amalan biasa di negara ini, jubin perlu direndam dalam air sebelum dipasang. Saya agak kontraktor tidak mematuhi langkah pemasangan sepatutnya. Bahagian belakang jubin pecah tiada kesan mortar simen, mengesahkan kelemahan di peringkata kerja memasang. Ketiadaan atau kekurangan bahan perekat di belakang jubin melemahkan daya lekat, seterusnya menimbulkan masalah seperti yang dibincangkan. Saya mengetahui banyak juga kes seperti ini berlaku,” ujar Loo.
Berdasarkan kenyataan di atas, kesimpulan daripada kes di rumah Salasiah adalah seperti berikut;
· *Jubin mengelembung, pecah terpelanting disebabkan kelemahan daya lekat di antara jubin dengan lapisan simen. Ini ditunjukkan oleh gaya jubin itu tercabut yang menampakkan keadaan bersih daripada kesan mortar simen di belakang.
· *Semua lantai dan dinding di dalam bangunan melalui proses pengembangan dan penguncupan pada tahap peratusan tertentu. Atas sebab itu, tekanan dari bahagian dalaman membawa ke jubin. Dalam kes di mana jubin dipasang tidak mengikut kaedah sepatutnya atau menggunakan bahan tidak betul, membuatkan lapisan jubin tidak cukup kuat untuk menampung tekanan dari dalaman.
* * Dengan tekanan berlaku secara berterusan dalam tempoh tertentu, menyebabkan lapisan jubin mengelembung dan terkopak. Dalam kes tertentu, disertai bunyi letupan kuat, dengan jubin pecah terpelanting.
· * Pemasangan menggunakan mortar simen bagi jubin seramik dengan resapan air melebihi 6 peratus, jubin perlu dirawat dengan merendam dalam air bersih kira-kira 30 minit sebelum dipasang. Ini mematuhi peraturan MS 1294 Bahagian 3: Kod Amalan Rekaan dan Pemasangan Lantai Seramik serta Mozek (MS 1294 Part 3 : Code of Practice for the Design and Installation of Ceramic Floor and Mosaics).
·*Membasahkan jubin dengan air sebelum dipasang bertujuan mengelak penyerapan air berterusan dari lapisan mortar simen-pasir ( ke dalam jubin) yang menjejaskan proses atau kekuatan melekat.
· *Kejadian di rumah Salasiah boleh disimpulkan berpunca daripada kaedah pemasangan tidak betul. Malangnya ia berlaku lima tahun selepas jubin dipasang dan sukar bagi Salasiah untuk menuntut ganti rugi daripada pemaju kerana tempoh liability telah lama luput.

Blogger Widgets